Sebenarnya, tajuk AQIDAH DAN PERJUANGAN sebenarnya daripada buku himpunan risalah-risalah Ust Hj. Fadzil Mohd Noor. Buku ini hampir saya habiskan, tetapi tak sempat kerana terpaksa menyerahkan semula kepada pemilik asalnya (buku sekolah dulu). Saya cuba untuk mendapatkannya di kedai Jaafar Rawas tetapi telah kehabisan stok. Sejak dari hujung tahun lepas lagi saya bertanya untuk mendapatkan buku ini di kedai itu, tetapi sampai sekarang masih tak sampai-sampai lagi.
Antara kandungan dalam buku itu adalah :-
Aqidah adalah satu ikatan yang mengikat sesuatu kepada sesuatu yang lain. Perkataan 'aqada,dalam bahasa ' Arab bererti mengikat. 'Aqidah adalah satu ikatan keyakinan mengikat pemikiran, diri dan hati seseorang yang menjadikan kehidupannya terarah dan terpimpin. Akidah telah mengikat seseorang Muslim itu untuk hidup berasaskan kepada dasar-dasar keyakinan iaitu iman. Dari segi istilah, perkataan iman ialah mengandungi pengertian yang sama dengan perkataan aqidah. Iman dari segi bahasa, mengandungi erti kesejahteraan, kejujuran.
Demikian juga terdapat perkataan yang mempunyai makna yang sama dengan aqidah dan iman iaitu "al-yaqin" keyakinan ialah satu kepercayaan yang teguh,yang tidak sedikitpun terdapat di dalamnya bentuk keraguan.
Islam meletakkan asas 'aqidah atau arkanul-iman ini di luar alam tabi'i. Arkan al-Iman ataupun rukun iman adalah satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Menolak satu daripada enamnya bermakna menolak keseluruhannya kerana antara satu dengan yang lain adalah saling berkaitan.
Asas keimanan akan membentuk satu sikap aqliyyah dan ruhaniyyah yang akan dapat membangunkan satu peradaban yang tinggi dan dihormati. Sebab itulah kita lihat Islam meletakkan rukun-rukun keimanan yang sedemikan itu: mempercayai kepada Allah yang Esa, mempercayai para Anbiya', dengan para Malaikat, dengan Wahyu dan Kitab-Kitab, dengan Hari Kemudian, dengan Qada' dan Qadar yang saru gambaran, kekuasaan Allah yang tinggi.
Aqidah Islam ialah aqidah tauhid kerana ia berdasarkan ke-Esaan Allah sebagai pencipta seluruh alam. Manusia dituntut mengabdikan dirinya hanya kepada yang Maha Esa dan seluruh kehidupan ini bersumberkan daripadaNya sahaja. Seseorang yang hendak menjadi Muslim mestilah mengisytiharkan secara terbuka akan keyakinannya bahawa "La Ilaha Illallah" sebagai kebenaran yang mutlak.
Saya berpandangan bahawa tajuk yang dibincangkan dalam buku ini merupakan suatu asas bagi seorang penggerak gerakan dakwah. Saya berpendapat demikian kerana aqidah yang akan membezakan antara seseorang muslim itu dengan seseorang muslim yang lain. Sebagai seorang muslim yang memiliki aqidah Islamiah, bagaimanakah kita akan bertindak untuk merealisasikan aqidah yang kita anuti sekarang? Adakah dengan beribadat sahaja sehingga tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku di sekeliling ataupun sibuk dengan urusan duniawi sehingga lupa tentang akhirat?
Di awal-awal pembacaan buku ini, buku ini menerangkan tentang maksud dan kepentingan tentang aqidah Islamiah. Itu merupakan perkara paling asas yang patut diketahui oleh setiap muslim sebelum dikaitkan dengan perjuangan. Perjuangan manusia di atas muka bumi Allah sekarang ini terlalu banyak, contohnya perjuangan menuntut kemerdekaan, kebajikan, keamanan, semangat perkauman dan banyak lagi. Tetapi apa yang dimaksudkan perjuangan dalam Islam adalah memperjuangkan aqidah Islamiah dalam bentuk menegakkan hukum Allah dan meruntuhkan kuffar di atas muka bumi ini (amar ma’aruf nahi mungkar). Tidak akan sempurna aqidah dan iman seseorang muslim itu hanya beramal untuk dirinya sahaja dan tidak memperjuangkan aqidahnya itu.
Beberapa perkara lain yang penting daripada buku ini adalah mengenai cirri-ciri perjuangan Islam. Antaranya adalah berkaitan sifat-sifat orang yang memperjuangkan Islam itu sendiri mestilah mempunyai asas aqidah yang mantap. Kita mestilah ingin melihat aqidah Islamiah yang dianutu sekarang dijelmakan atau direalisasikan. Dengan erti kata lain adalah menyertai jemaah Islamiah dan memperjuangkan Islam melauinya. Selain itu, perjuangan Islam mestilah diletakkan atas dasar aqidah kepada Allah semata-mata. Hanya perintah Allah yang kita ingin turuti dan menjauhi apa yang dilarang. Perjuangan ini tidak boleh memisahkan antara urusan agama dengan urusan dunia, bukan perjuangan sekular seperti sesetengah pihak itu. Akhir sekali, perjuangan Islam mesti diteruskan walau di mana sahaja berada. Kita tidak harus mudah kecewa dan lemah kerana kita adalah sebahagian daripada rantai-rantai perjuangan.
Saya teringat petikan ayat dari seorang sahabat saya yang mengatakan bahawa “aqidah mestilah diperjuangkan dan perjuangan mestilah berteraskan aqidah”.
No comments:
Post a Comment